BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

18 August 2009

gadis kecil- Usman Awang

Gadis Kecil - Usman Awang

Tubuh itu mengingatkan daku

sebatang pinang di desa sepi

kurus dan tinggi

ketika ribut besar

pohon sekitarnya rebah terkapar

dan pohon pinang tegak menanti sinar

mentari pagi

Demikianlah gadis kecil itu

kurus seperti sebatang pinang

bertahun berulang-alik melalui

penjara kawat duri menemui

ayahnya yang bertahun pula sendiri

menentang tiap penderitaan

tabah dan beriman.

Gadis kecil itu mengagumkan daku

tenang dan senyuman yang agung

dengan sopan menolak pemberianku

'saya tak perlu wang, pak cik, cukuplah kertas dan buku.'

Usianya terlalu muda

Jiwanya didewasakan oleh pengalaman

tidak semua orang mencapai kekuatan demikian

ketabahan yang unik, mempesonakan.

Bila aku menyatakan simpati dan dukaku

rasa pilu terhadapnya

sekali lagi dia tersenyum dan berkata:

'jangan sedih, pak cik, tabahkan hati

banyak anak-anak seperti saya di dunia ini.

' Aku jadi terpaku

dia, si gadis kecil itu menenteramkan

mengawal ombak emosiku

jangan sedih melihat derita pahitnya.

Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa

yang mahu membela manusia derita terpenjara

menerima nasihat supaya tabah dan berani,

dari anak penghuni penjara sendiri?Sepuluh anak seperti dia

akan menghapuskan erti seribu penjara.

Renungan kata pengisian jiwa


Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup…
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…
Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar memenuhi keperluanmu. Kerana apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi…
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya…
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya lagi. Kamu akan menyesal…
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain? Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal……