BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

25 August 2009

RAKAMAN PEMIKIRAN DALAM KAPSUL BAHASA BERIRAMA

Pantun adalah puisi atau bahasa berirama dalam bahasa Melayu yang diperakui oleh pengkaji dan intelek dunia sebagai lambang daya intelek Melayu atau kebijaksaan manusia Melayu yang amat tinggi dan hebat dalam mengungkapkan pemikiran yang besar dengan bahasa indah dan berseni.



Nilai pantun yang baik setara dengan puisi karya mana-mana tamadun dunia. Malah Sasterawan Negara Dr Muhamamd Haji Salleh mengatakan bahawa pantun yang baik setanding nilai pemikirannya dengan karya-karya besar Shakespeare.



Profesor Ding Choo Ming dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyifatkan pantun sebagai ekspresi bahasa Melayu yang charming and cute yang sungguh menarik dan indah.



Satu hakikat ialah apabila kita berpantun termasuk berbalas pantun kita melatih diri kita mengungkapkan persekitaran dan isu yang besar dan rumit, lalu sekali gus meringkaskan ungkapan itu ke dalam satu kapsul bahasa yang kurang daripada 40 suku kata. Benar sekali - hanya 40 suku kata untuk mengungkap idea besar dan hebat. Ini semacam mustahil tetapi itu berlaku dalam budaya pantun empat kerat bangsa Melayu.



Sebagai contoh kita pilih sebuah pantun biasa dalam masyarakat sejak sekian lama dan tidak diketahui pencipta asalnya, untuk dikupas dan dianalisis demi melihat idea-idea besar serta lapisan-lapisan ilmu yang dimateri di dalamnya, dan bagaimana pemikiran tinggi itu dimuat di dalam kapsul bahasa 40 suku kata atau kurang itu.

Puas saya bertanam padi


Nanas juga dibeli orang;


Puast saya menanam budi,


Emas harta dicari orang.

Dalam pantun di atas seluruh pantun yang terdiri daripada pembayang maksud atau sampiran, iaitu dua baris awal dan maksud pantun di dalam dua baris akhir, hanya mempunyai 36 suku kata di dalam 16 perkataan. Namun ini merupakan pemuatan idea ke dalam kapsul bahasa yang amat berkesan. Di sinilah kelebihan dan kekuatan luarbiasa pada pantun Melayu sebagai media ekspresi.



Kalau kita kaji pantun ini dalam bahasa yang berirama yang ada peraturan jeda dan rentak yang tegas, dan serba ringkas kerana suku katanya terhad, termuat gambaran sosiobudaya masyarakat latar pantun itu dalam sampirannya dan nilai pekerti masyarakat itu termuat di dalam dua baris maksud pantun.



Masyarakat latar dalam sampiran ialah masyarakat agraris atau masyarakat hidupnya bertani. Masyarakat yang dibayangkan dalam isi atau maksud pantun pula masyarakat yang sudah ada ilmu galian dan pemprosesan logam – emas, dan ilmu perdagangan dan kepenggunaan dan sudah ada konsep nilai emas sebagai pengukur kekayan seseorang, dan pengguna boleh memilih apa yang mereka mahu secara bebas tanpa pertimbangan nilai. Bukanklah ini prinsip asas ekonomi iaitu neutral daripada pertimbangan moral atau spiritualnya.



Sekali gus kita juga kita dapat melihat wujudnya konsep tahap dan kedudukan sosial atau protokol yang meletakkan orang yang beremas atau berharta itu sebagai lebih diutamakan atau disanjung dan dihormati. Lantas diungkapkan kritikan sosial tentang materialisme dan kapitalisme, atau komunistik dengan pengkelasan masyarakat kepada marhaen dan elitis.
Memang konsep-konsep sosiologi yang digambarkan itu besar dan perlu diungkapkan dalam istilah khusus, tapi unsur sedemikian ada titik-titik pemikirannya di dalam 36 suku kata pantun yang kita pilih ini.



Juga dalam dua baris maksud pantun itu termuat gambaran cabaran terhadap nilai serta kritikan terhadap masyarakat yang sudah lupa nilai kemanusiaan iaitu budi bahasa dan mengutamakan nilai siapa kuat (kerana hartanya) dia kudrat.



Ini bererti bahasa yang digunakan dalam pantun amat efisien sehingga mampu berbuat demikian.


Kita huraikan selanjutnya begini:



Dalam sampiran atau pembayang maksud itu gambaran sosiobudaya yang wujud ialah satu tahap pertanian yang sudah maju dengan pelbagai tanaman dan hasil pertanian– ada sekurang-kurangnya nanas dan padi sebagai hasil pertanian.



Pemilihan padi dan nanas dalam bahagian sampiran itu amat menepati unsur yang ditonjolkan dalam isi pantun atau maksud pantun kemudiannya iaitu emas dan budi. Ini menjadikan seluruh pantun berkenaan ada kualiti dan kekuatan tersendiri.



Dari segi amalan pertanian padi tumbuh di kawasan paya yang airnya bergenang yang selalunya tidak sesuai untuk tanaman lain. Nanas pula agak ‘sombong’ kerana kawasan penanamannya harus cukup air tetapi tidak boleh air menggegangi pohon ataqu akarnya. Nanas akan rosak kalau pokoknya digenangi air.



Dengan kata lain kawasan nanas harus ada sistem penyaliran yang cukup baik dengan air berdekatan untuk melembabkan tanah tapi tidak terkena akar dan pokoknya. Ini sifat elitis dan menampakkan kecerewetan sifat pada nanas yang dikaitkan dengan sifat golongan masyarakat materialistik dan berkuasa.



Dari segi bentuk fizikal pula pokok padi yang tumbuh di tempat sederhana berdiri dalam keadaan serba lemah kerana batangnya lembut, sehingga apabila buahnya sudah bersiri dan menjadi semakin berat, pokok padi itu semakin tunduk. Dan padi walaupun kecil pokoknya, buahnya banyak bagi setiap pohon, dan sepohon boleh mengeluarkan beberapa tangkai. Ini amat sesuai untuk melambangkan sifat orang berbudi itu yang kadangkala nampak sederhgana tindakannya dan berbudi di sana sini sehingga tidak dihargai.



Selalunya sepohon nanas mengeluarkan sebiji buah. Pohon nanas juga daunnya tebal dan kukuh serta berduri tajam seolah-olah pedang pengawal pintu istana purba. Ini jelas berbeza dengan padi yang lembut batang dan daunnya. Buah nanas yang warnanya kuning keemasan lengkap dengan mahkota yang berduri tajam menjadikannya kelihatan hebat dan boleh dikaitkan dengan sifat orang yang ada harta benda dan emas perak yang selalu benar dikatakan angkuh dan sombong. Sifat tidak mesra pokok nanas dengan duri tajamnya melambangkan sikap orang berharta dan mahu memelihara hartanya dan ada kecenderungan membolot semua harta untuk dirinya – sifat sepohon nanas.



Kalau sifat dan ciri dua tanaman ini kemudiannya boleh dikaitkan dengan ciri dan sifat budi dan emas dalam satu analogi atau simbol serta perbandingan, maka kita dapat melihat yang budi boleh wujud bersahaja dan subur dalam suasana biasa dan daif dan di kawasan yang tidak berapa dijaga, yakni di kalangan manusia yang sanggup menundukkan diri apabila semakin besar tangungjawabnya serta tidak sombong dan angkuh. Maka budi juga diperlukan oleh semua peringkat manusia sebagaimana mereka memerlukan nasi.



Dari segi kesan terhadap manusia dalam ilmu pemakanan pula kesan memakan dua jenis hasil pertanian ini memang berbeza. Padi, beras atau nasi tidaklah sesedap mana tetapi tetap dimakan hari-hari dan memakannya banyak-banyak tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan yang memudaratkan kecuali berlebihan bekalan karbohidrat di dalam badan. Dalam kes biasa orang tidak akan sakit perut kerana banyak makan nasi.



Nanas yang manis dan sedap menjadi kegilaan kebanyakan orang, sama sifatnya dengan emas yang menjadi sebahagian isi pantun. Kalau dimakan terlalu banyak boleh sekurang-kurangnya menyebabkan sakit perut dan kerana gula dalam nanas itu tinggi maka boleh menambah kadar kandungan gula dalam darah di badan seseorang kalau dimakan banyak secara berterusan. Kegilaan terhadap emas dan harta benda juga hampir serupa, yang selalunya membawa penyakit dan menjadi sumber penderitaan hidup. Makanlah banyak nasi kita sekadar semakin kenyang tetapi makan banyak-banyak nanas, sakit perutlah akibatnya.



Maka dapat kita lihat bentuk simetrikal atau pola paralelisme di dalam pantun ini antara pembayang maksud atau sampiran dengan maksud atau isi pantun dengan kedudukan budi dan emas di dalam kehidupan. Ini contoh pantun yang baik.



Dalam pada itu dalam pantun ini secara tidak langsung ada unsur pedang dua belah mata. Di satu pihak kita melihat orang yang mengemukakan pantun itu mengkritik sifat kebendaan atau materialistik dalam masyarakat yang tidak lagi menghargai budi sebaliknya mengejar harta.



Pada pihak lain kita dapat melihat adanya juga unsur berkira dan berhitung di kalangan orang berbudi yang mahu budi mereka dibalas dan dihargai. Maka timbul persoalan kalau dia mengharapkan penghargaan dan balasan bagi budi yang ditabur atau dicurahkan, tidakkah dia juga materialistik, dengan melabur dan mengharapkan keuntungannya daripada pelaburan budinya?



Dengan itu jelas kini bahawa kalau hendak dikira bukan mudah untuk menghimpunkan kesemua buah fikiran yang disenaraikan di sini serta lapisan-lapisan ilmu yang terselindung yang mesti diketahui sedikit sebanyak oleh pemantun sebelum dapat menghasilkan pantun yang cukup sempurna seperti ini.



Sekali lagi dalam hanya 36 sukukata dan 16 perkataan segala idea segala falsafah hidup, nilai dan amalan sosiobudaya yang begitu banyak dihimpunkan sehingga sebuah pantun yang baik dan sempurna mewujudkan satu kosmologi tersendiri mewakili nilai budaya masyarakat.
Inilah contoh serangkap pantun yanmg berkualiti tinggi dan inilah kualiti yang hendak kita capai dalam mencipta sesebuahg pantun