BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

26 August 2009

PENDAHULUAN

Karangan ialah sejenis gerak kerja yang penting dalam bidang penulisan dan diuji pada peringkat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu kertas 1 (kod kertas: 1103/1).

Mengarang ialah satu kemahiran yang perlu dipelajari serta dilatih kerana kemahiran ini penting dimiliki oleh setiap pelajar. Karangan terhasil daripada kebijaksanaan dan keterampilan menggubah atau menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkai kata dan seterusnya untuk dijadikan ayat. Aktiviti mengarang memerlukan kemahiran menyampaikan idea, fakta dan yang seumpamanya yang terdapat dalam pemikiran manusia melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa.Mengarang merupakan suatu kemahiran yang perlu dikuasai melalui proses penulisan yang juga memerlukan seseorang itu berlatih menyusun serta mengilah buah fikiran dan idea agar terjalin dengan kemas, lancar, dan berkesinambungan. Kemahiran ini amat berkait rapat dengan kemahiran mendengar, bertutur dan membaca. Mengarang juga merupakan suatu proses yang bersistem dan berterusan. Beberapa tahap mesti dilalui sebelum sesuatu hasil penulisan dihasilkan. Mengarang juga bukan sahaja merupakan kebolehan semulajadi, bahkan perlu dipelajari dan perlu ada latihan yang sistematik sifatnya.

ASAS-ASAS MENGARANG YANG DIPERLUKAN

1. Menganalisis soalan

1.1. Pilih tajuk yang benar-benar anda fahami yang bersesuaian dengan pengetahuan dan pemahaman anda tentangnya. Anda mestilah benar-benar memahami pilihan itu dari segi format atau bentuk, isi dan laras bahasanya.

1.2. Carilah kunci utama sesuatu soalan yang biasanya terletak pada perkataan tertentu.

1.3. Kunci utama pada soalan yang biasa digunakan ialah bincangkan, sejauhmanakah, berikan pendapat, tulislah gambaran, gambarkan keadaan, dan lain-lain lagi.

1.4. Sesudah memahami kunci utama soalan, pastikan anda memahami jumlah elemen yang terkandung dalam soalan itu. Kadang-kadang terdapat dua elemen atau perkara yang perlu ditulis dalam sesebuah karangan.

2. Merangka karangan.

2.1. Rangka karangan ialah garis kasar bagi menulis karangan yang sebenar.

2.2. Rangka karangan seharusnya mengandungi:

(a) pendahuluan

(b) isi-isi /idea

(c) penutup/kesimpulan

2.3. Rangka karangan hendaklah ringkas.

2.4. Anda boleh menulis dalam bentuk ‘point’ atau peta minda.

3. Menulis pendahuluan.

3.1. Tujuan utama bahagian ini adalah untuk menarik minat dan tumpuan pembaca terhadap tema penulisan.

4. Mengembangkan idea:

4.1. Karangan yang baik mestilah dapat dikembangkan ideanya dengan sempurna.

5. Penutup/kesimpulan.

5.1. Kesimpulan merupakan tempat bagi penulis untuk merumuskan semua isi yang telah dikemukakan.

5.2 Pada bahagian ini, penulis boleh memberikan sedikit cadangan.

5.3. Bahagian ini perlu ditulis dalam satu perenggan sahaja.

BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN

Bahagian ini memperkenalkan secara tersurat atau tersirat akan isu atau persoalan yang menjadi judul penulisan. Bahagian ini hendaklah dipersembahkan dengan gaya yang menarik dan bertenaga .Antara bentuk pendahuluan yang dicadangkan:

(a) definisi

(b) persoalan

(c) pantun

(d) seni kata lagu

(e) sajak

(f) syair

(g) cerita

(h) kata-kata hikmat

(i) dialog(j) ucapan/kata-kata pembesar/orang ternama

(k) statistik

(l) berita akhbar

(m) sejarah

(n) suasana

(o) peribahasa

0 comments: