BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

26 August 2009

PENDAHULUAN

Karangan ialah sejenis gerak kerja yang penting dalam bidang penulisan dan diuji pada peringkat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu kertas 1 (kod kertas: 1103/1).

Mengarang ialah satu kemahiran yang perlu dipelajari serta dilatih kerana kemahiran ini penting dimiliki oleh setiap pelajar. Karangan terhasil daripada kebijaksanaan dan keterampilan menggubah atau menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkai kata dan seterusnya untuk dijadikan ayat. Aktiviti mengarang memerlukan kemahiran menyampaikan idea, fakta dan yang seumpamanya yang terdapat dalam pemikiran manusia melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa.Mengarang merupakan suatu kemahiran yang perlu dikuasai melalui proses penulisan yang juga memerlukan seseorang itu berlatih menyusun serta mengilah buah fikiran dan idea agar terjalin dengan kemas, lancar, dan berkesinambungan. Kemahiran ini amat berkait rapat dengan kemahiran mendengar, bertutur dan membaca. Mengarang juga merupakan suatu proses yang bersistem dan berterusan. Beberapa tahap mesti dilalui sebelum sesuatu hasil penulisan dihasilkan. Mengarang juga bukan sahaja merupakan kebolehan semulajadi, bahkan perlu dipelajari dan perlu ada latihan yang sistematik sifatnya.

ASAS-ASAS MENGARANG YANG DIPERLUKAN

1. Menganalisis soalan

1.1. Pilih tajuk yang benar-benar anda fahami yang bersesuaian dengan pengetahuan dan pemahaman anda tentangnya. Anda mestilah benar-benar memahami pilihan itu dari segi format atau bentuk, isi dan laras bahasanya.

1.2. Carilah kunci utama sesuatu soalan yang biasanya terletak pada perkataan tertentu.

1.3. Kunci utama pada soalan yang biasa digunakan ialah bincangkan, sejauhmanakah, berikan pendapat, tulislah gambaran, gambarkan keadaan, dan lain-lain lagi.

1.4. Sesudah memahami kunci utama soalan, pastikan anda memahami jumlah elemen yang terkandung dalam soalan itu. Kadang-kadang terdapat dua elemen atau perkara yang perlu ditulis dalam sesebuah karangan.

2. Merangka karangan.

2.1. Rangka karangan ialah garis kasar bagi menulis karangan yang sebenar.

2.2. Rangka karangan seharusnya mengandungi:

(a) pendahuluan

(b) isi-isi /idea

(c) penutup/kesimpulan

2.3. Rangka karangan hendaklah ringkas.

2.4. Anda boleh menulis dalam bentuk ‘point’ atau peta minda.

3. Menulis pendahuluan.

3.1. Tujuan utama bahagian ini adalah untuk menarik minat dan tumpuan pembaca terhadap tema penulisan.

4. Mengembangkan idea:

4.1. Karangan yang baik mestilah dapat dikembangkan ideanya dengan sempurna.

5. Penutup/kesimpulan.

5.1. Kesimpulan merupakan tempat bagi penulis untuk merumuskan semua isi yang telah dikemukakan.

5.2 Pada bahagian ini, penulis boleh memberikan sedikit cadangan.

5.3. Bahagian ini perlu ditulis dalam satu perenggan sahaja.

BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN

Bahagian ini memperkenalkan secara tersurat atau tersirat akan isu atau persoalan yang menjadi judul penulisan. Bahagian ini hendaklah dipersembahkan dengan gaya yang menarik dan bertenaga .Antara bentuk pendahuluan yang dicadangkan:

(a) definisi

(b) persoalan

(c) pantun

(d) seni kata lagu

(e) sajak

(f) syair

(g) cerita

(h) kata-kata hikmat

(i) dialog(j) ucapan/kata-kata pembesar/orang ternama

(k) statistik

(l) berita akhbar

(m) sejarah

(n) suasana

(o) peribahasa

Falsafah alam

Penakik pisau seraut,

Ambil galah batang lintabuang,

Selodang dijadikan nyiru,

Yang setitik jadikan laut,

Yang sekepal jadikan gunung,

Alam terkembang dijadikan guru.

Usang diperbaharui,

lapuk disokong,

Yang elok dipakai,

Yang buruk dibuang,

Jika singkat harap diulas,

Panjang harap dikerat,

Rumpang harap disisit,

Yang elok dipakai,

Yang buruk dibuang,

Melihat contoh pada yang sudah,

Melihat tuah pada yang menang,

Sekali air bah,Sekali tepian beralih.



Dasar Falsafah Adat Minangkabau,
M. Nasroen, Djakarta, 1957

25 August 2009

RAKAMAN PEMIKIRAN DALAM KAPSUL BAHASA BERIRAMA

Pantun adalah puisi atau bahasa berirama dalam bahasa Melayu yang diperakui oleh pengkaji dan intelek dunia sebagai lambang daya intelek Melayu atau kebijaksaan manusia Melayu yang amat tinggi dan hebat dalam mengungkapkan pemikiran yang besar dengan bahasa indah dan berseni.



Nilai pantun yang baik setara dengan puisi karya mana-mana tamadun dunia. Malah Sasterawan Negara Dr Muhamamd Haji Salleh mengatakan bahawa pantun yang baik setanding nilai pemikirannya dengan karya-karya besar Shakespeare.



Profesor Ding Choo Ming dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyifatkan pantun sebagai ekspresi bahasa Melayu yang charming and cute yang sungguh menarik dan indah.



Satu hakikat ialah apabila kita berpantun termasuk berbalas pantun kita melatih diri kita mengungkapkan persekitaran dan isu yang besar dan rumit, lalu sekali gus meringkaskan ungkapan itu ke dalam satu kapsul bahasa yang kurang daripada 40 suku kata. Benar sekali - hanya 40 suku kata untuk mengungkap idea besar dan hebat. Ini semacam mustahil tetapi itu berlaku dalam budaya pantun empat kerat bangsa Melayu.



Sebagai contoh kita pilih sebuah pantun biasa dalam masyarakat sejak sekian lama dan tidak diketahui pencipta asalnya, untuk dikupas dan dianalisis demi melihat idea-idea besar serta lapisan-lapisan ilmu yang dimateri di dalamnya, dan bagaimana pemikiran tinggi itu dimuat di dalam kapsul bahasa 40 suku kata atau kurang itu.

Puas saya bertanam padi


Nanas juga dibeli orang;


Puast saya menanam budi,


Emas harta dicari orang.

Dalam pantun di atas seluruh pantun yang terdiri daripada pembayang maksud atau sampiran, iaitu dua baris awal dan maksud pantun di dalam dua baris akhir, hanya mempunyai 36 suku kata di dalam 16 perkataan. Namun ini merupakan pemuatan idea ke dalam kapsul bahasa yang amat berkesan. Di sinilah kelebihan dan kekuatan luarbiasa pada pantun Melayu sebagai media ekspresi.



Kalau kita kaji pantun ini dalam bahasa yang berirama yang ada peraturan jeda dan rentak yang tegas, dan serba ringkas kerana suku katanya terhad, termuat gambaran sosiobudaya masyarakat latar pantun itu dalam sampirannya dan nilai pekerti masyarakat itu termuat di dalam dua baris maksud pantun.



Masyarakat latar dalam sampiran ialah masyarakat agraris atau masyarakat hidupnya bertani. Masyarakat yang dibayangkan dalam isi atau maksud pantun pula masyarakat yang sudah ada ilmu galian dan pemprosesan logam – emas, dan ilmu perdagangan dan kepenggunaan dan sudah ada konsep nilai emas sebagai pengukur kekayan seseorang, dan pengguna boleh memilih apa yang mereka mahu secara bebas tanpa pertimbangan nilai. Bukanklah ini prinsip asas ekonomi iaitu neutral daripada pertimbangan moral atau spiritualnya.



Sekali gus kita juga kita dapat melihat wujudnya konsep tahap dan kedudukan sosial atau protokol yang meletakkan orang yang beremas atau berharta itu sebagai lebih diutamakan atau disanjung dan dihormati. Lantas diungkapkan kritikan sosial tentang materialisme dan kapitalisme, atau komunistik dengan pengkelasan masyarakat kepada marhaen dan elitis.
Memang konsep-konsep sosiologi yang digambarkan itu besar dan perlu diungkapkan dalam istilah khusus, tapi unsur sedemikian ada titik-titik pemikirannya di dalam 36 suku kata pantun yang kita pilih ini.



Juga dalam dua baris maksud pantun itu termuat gambaran cabaran terhadap nilai serta kritikan terhadap masyarakat yang sudah lupa nilai kemanusiaan iaitu budi bahasa dan mengutamakan nilai siapa kuat (kerana hartanya) dia kudrat.



Ini bererti bahasa yang digunakan dalam pantun amat efisien sehingga mampu berbuat demikian.


Kita huraikan selanjutnya begini:



Dalam sampiran atau pembayang maksud itu gambaran sosiobudaya yang wujud ialah satu tahap pertanian yang sudah maju dengan pelbagai tanaman dan hasil pertanian– ada sekurang-kurangnya nanas dan padi sebagai hasil pertanian.



Pemilihan padi dan nanas dalam bahagian sampiran itu amat menepati unsur yang ditonjolkan dalam isi pantun atau maksud pantun kemudiannya iaitu emas dan budi. Ini menjadikan seluruh pantun berkenaan ada kualiti dan kekuatan tersendiri.



Dari segi amalan pertanian padi tumbuh di kawasan paya yang airnya bergenang yang selalunya tidak sesuai untuk tanaman lain. Nanas pula agak ‘sombong’ kerana kawasan penanamannya harus cukup air tetapi tidak boleh air menggegangi pohon ataqu akarnya. Nanas akan rosak kalau pokoknya digenangi air.



Dengan kata lain kawasan nanas harus ada sistem penyaliran yang cukup baik dengan air berdekatan untuk melembabkan tanah tapi tidak terkena akar dan pokoknya. Ini sifat elitis dan menampakkan kecerewetan sifat pada nanas yang dikaitkan dengan sifat golongan masyarakat materialistik dan berkuasa.



Dari segi bentuk fizikal pula pokok padi yang tumbuh di tempat sederhana berdiri dalam keadaan serba lemah kerana batangnya lembut, sehingga apabila buahnya sudah bersiri dan menjadi semakin berat, pokok padi itu semakin tunduk. Dan padi walaupun kecil pokoknya, buahnya banyak bagi setiap pohon, dan sepohon boleh mengeluarkan beberapa tangkai. Ini amat sesuai untuk melambangkan sifat orang berbudi itu yang kadangkala nampak sederhgana tindakannya dan berbudi di sana sini sehingga tidak dihargai.



Selalunya sepohon nanas mengeluarkan sebiji buah. Pohon nanas juga daunnya tebal dan kukuh serta berduri tajam seolah-olah pedang pengawal pintu istana purba. Ini jelas berbeza dengan padi yang lembut batang dan daunnya. Buah nanas yang warnanya kuning keemasan lengkap dengan mahkota yang berduri tajam menjadikannya kelihatan hebat dan boleh dikaitkan dengan sifat orang yang ada harta benda dan emas perak yang selalu benar dikatakan angkuh dan sombong. Sifat tidak mesra pokok nanas dengan duri tajamnya melambangkan sikap orang berharta dan mahu memelihara hartanya dan ada kecenderungan membolot semua harta untuk dirinya – sifat sepohon nanas.



Kalau sifat dan ciri dua tanaman ini kemudiannya boleh dikaitkan dengan ciri dan sifat budi dan emas dalam satu analogi atau simbol serta perbandingan, maka kita dapat melihat yang budi boleh wujud bersahaja dan subur dalam suasana biasa dan daif dan di kawasan yang tidak berapa dijaga, yakni di kalangan manusia yang sanggup menundukkan diri apabila semakin besar tangungjawabnya serta tidak sombong dan angkuh. Maka budi juga diperlukan oleh semua peringkat manusia sebagaimana mereka memerlukan nasi.



Dari segi kesan terhadap manusia dalam ilmu pemakanan pula kesan memakan dua jenis hasil pertanian ini memang berbeza. Padi, beras atau nasi tidaklah sesedap mana tetapi tetap dimakan hari-hari dan memakannya banyak-banyak tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan yang memudaratkan kecuali berlebihan bekalan karbohidrat di dalam badan. Dalam kes biasa orang tidak akan sakit perut kerana banyak makan nasi.



Nanas yang manis dan sedap menjadi kegilaan kebanyakan orang, sama sifatnya dengan emas yang menjadi sebahagian isi pantun. Kalau dimakan terlalu banyak boleh sekurang-kurangnya menyebabkan sakit perut dan kerana gula dalam nanas itu tinggi maka boleh menambah kadar kandungan gula dalam darah di badan seseorang kalau dimakan banyak secara berterusan. Kegilaan terhadap emas dan harta benda juga hampir serupa, yang selalunya membawa penyakit dan menjadi sumber penderitaan hidup. Makanlah banyak nasi kita sekadar semakin kenyang tetapi makan banyak-banyak nanas, sakit perutlah akibatnya.



Maka dapat kita lihat bentuk simetrikal atau pola paralelisme di dalam pantun ini antara pembayang maksud atau sampiran dengan maksud atau isi pantun dengan kedudukan budi dan emas di dalam kehidupan. Ini contoh pantun yang baik.



Dalam pada itu dalam pantun ini secara tidak langsung ada unsur pedang dua belah mata. Di satu pihak kita melihat orang yang mengemukakan pantun itu mengkritik sifat kebendaan atau materialistik dalam masyarakat yang tidak lagi menghargai budi sebaliknya mengejar harta.



Pada pihak lain kita dapat melihat adanya juga unsur berkira dan berhitung di kalangan orang berbudi yang mahu budi mereka dibalas dan dihargai. Maka timbul persoalan kalau dia mengharapkan penghargaan dan balasan bagi budi yang ditabur atau dicurahkan, tidakkah dia juga materialistik, dengan melabur dan mengharapkan keuntungannya daripada pelaburan budinya?



Dengan itu jelas kini bahawa kalau hendak dikira bukan mudah untuk menghimpunkan kesemua buah fikiran yang disenaraikan di sini serta lapisan-lapisan ilmu yang terselindung yang mesti diketahui sedikit sebanyak oleh pemantun sebelum dapat menghasilkan pantun yang cukup sempurna seperti ini.



Sekali lagi dalam hanya 36 sukukata dan 16 perkataan segala idea segala falsafah hidup, nilai dan amalan sosiobudaya yang begitu banyak dihimpunkan sehingga sebuah pantun yang baik dan sempurna mewujudkan satu kosmologi tersendiri mewakili nilai budaya masyarakat.
Inilah contoh serangkap pantun yanmg berkualiti tinggi dan inilah kualiti yang hendak kita capai dalam mencipta sesebuahg pantun

Panduan Puasa Ramadhan

MASYRU'IYAT PUASA RAMADHAN

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atasorang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa "

( QS Al-Baqarah : 183 ).

1. Puasa Ramadhan hukumnya Fardu `Ain

2. Puasa Ramadhan disyari'atkan bertujuan untuk menyempurnakan ketaqwaan

KEUTAMAAN BULAN RAMADHAN DAN KEUTAMAAN BERAMAL DIDALAMNYA

1. Bulan Ramadhan adalah:

a. Bulan yang penuh Barakah.

b. Pada bulan ini pintu Jannah dibuka dan pintu neraka ditutup.

c. Pada bulan ini Setan-Setan dibelenggu.

d. Dalam bulan ini ada satu malam yang keutamaan beramal didalamnya lebih baik daripada beramal seribu bulan di bulan lain, yakni malam LAILATUL QADR.

e. Pada bulan ini setiap hari ada malaikat yang menyeru menasehati siapa yang berbuat baik agar bergembira dan yang berbuat ma'shiyat agar menahan diri.

2. Keutamaan beramal di bulan Ramadhan antara lain :

a. Amal itu dapat menutup dosa-dosa kecil antara setelah Ramadhan yang lewat sampai dengan Ramadhan berikutnya.

b. Menjadikan bulan Ramadhan memintakan syafaa't.

c. Khusus bagi yang puasa disediakan pintu khusus yang bernama Rayyaan untuk memasuki Jannah.

RUKUN PUASA

a. Berniat sejak malam hari

b. Menahan makan, minum, koitus (Jima') dengan istri di siang hari sejak terbit fajar sampai terbenam matahari (Maghrib), Wanita yang sedang haidh dilarang puasa sampai habis masa haidhnya, lalu melanjutkan puasanya. Di luar Ramadhan ia wajib mengqadha puasa yag ditinggalkannya selama dalam haidh.

YANG DIBERI KELONGGARAN UNTUK TIDAK PUASA RAMADHAN

Orang Mu'min yang diberi kelonggaran diperbolehkan untuk tidak puasa Ramadhan, tetapi wajib mengqadha di bulan lain, mereka itu ialah :

a). Orang sakit yang masih ada harapan sembuh.

b) Orang yang bepergian ( Musafir ). Musafir yang merasa kuat boleh meneruskan puasa dalam safarnya, tetapi yang merasa lemah dan berat lebih baik berbuka, dan makruh memaksakan diri untuk puasa.

Orang Mu'min yang diberi kelonggaran diperbolehkan untuk tidak mengerjakan puasa dan tidak wajib mengqadha, tetapi wajib fidyah (memberi makan sehari seorang miskin). Mereka adalah orang yang tidak lagi mampu mengerjakan puasa karena :

a). Umurnya sangat tua dan lemah.

b). Wanita yang menyusui dan khawatir akan kesihatan anaknya.

c). Karena mengandung dan kuatir akan kesihatan dirinya.

d). Sakit yang tidak ada harapan sembuh.

e). Orang yang sehari-hari kerjanya berat yang tidak mungkin mampu dikerjakan sambil puasa, dan tidak mendapat pekerjaan lain yang ringan.

HAL-HAL YANG MEMBATALKAN PUASA

a. Sengaja makan dan minum di siang hari. Bila terlupa makan dan minum di siang hari, maka tidak membatalkan puasa.

b. Sengaja muntah, bila muntah dengan tidak disengajakan, maka tidak membatalkan puasa.

c. Dengan sengaja menyetubuhi isteri di siang hari Ramadhan, ini disamping puasanya batal ia terkena hukum yang berupa : memerdekakan seorang hamba, bila tidak mampu maka puasa dua bulan berturut-turut, dan bila tidak mampu, maka memberi makan enam puluh orang miskin.

d. Datang bulan di siang hari Ramadhan ( sebelum waktu masuk Maghrib)

HAL-HAL YANG BOLEH DIKERJAKAN WAKTU IBADAH PUASA

a. Menyiram air ke atas kepala pada siang hari karana haus ataupun udara panas, demikian pula menyelam kedalam air pada siang hari.

b. Menta'khirkan mandi junub setelah adzan Subuh.

c. Berbekam pada siang hari.

d. Mencium, mencumbu istri tetapi tidak sampai bersetubuh di siang hari (hukumnya makruh)

e. Beristinjak (menghirup air kedalam hidung) terutama bila akan berwudhu, asal tidak dikuatkan menghirupnya.

f. Disuntik di siang hari.

g. Memakan makanan asal tidak ditelan.

ADAB-ADAB PUASA RAMADHAN

1. Berbuka apabila sudah masuk waktu Maghrib.

Sunnah berbuka adalah sbb :

a. Disegerakan yakni sebelum melaksanakan shalat Maghrib dengan makanan yang ringan seperti rutob (kurma muda), kurma dan air saja, setelah itu baru melaksanakan solat

b. Tetapi apabila makan malam sudah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat dahulu.

c. Setelah berbuka berdo'a dengan do'a sbb : Ertinya : "Telah hilang rasa haus, dan menjadi basah semua urat-urat dan pahala tetap wujud insya Allah."

2. Makan sahur.

Adab-adab sahur :

a. Dilambatkan sampai akhir malam mendekati Subuh.

b. Apabila pada tengah makan atau minum sahur lalu mendengar azan Subuh, maka sahur boleh diteruskan sampai selesai, tidak perlu dihentikan di tengah sahur karena sudah masuk waktu Subuh.

3. Lebih bersifat dermawan (banyak memberi, banyak bersedekah, banyak menolong) dan banyak membaca al-qur'an

4. Menegakkan solat malam/solat Tarawih dengan berjama'ah. Dan solat Tarawih ini lebih digiatkan lagi pada sepuluh malam terakhir (20 hb. sampai akhir Ramadhan).

Cara solat Tarawih adalah :

a. Dengan berjama'ah.

b. Salam tiap dua raka'at dikerjakan empat kali, atau salam tiap empat raka'at dikerjakan dua kali dan ditutup dengan witir tiga raka'at.

c. Dibuka dengan dua raka'at yang ringan.

d. Bacaan dalam witir :
Raka'at pertama : Sabihisma Rabbika.
Roka't kedua : Qul yaa ayyuhal kafirun.
Raka'at ketiga : Qulhuwallahu ahad.

e. Membaca do'a qunut dalam solat witir.

5. Berusaha menepati lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir, terutama pada malam-malam ganjil. Bila dirasakan menepati lailatul qadar hendaklah lebih giat beribadah dan membaca : Yaa Allah Engkaulah pengampun, suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.

6. Mengerjakan i'tikaf pada sepuluh malam terakhir.

7. Menjauhi perkataan dan perbuatan keji dan menjauhi pertengkaran.

Cara i'tikaf:

a. Setelah shalat Shubuh lalu masuk ke tempat i'tikaf di masjid.

b. Tidak keluar dari tempat i'tikaf kecuali ada keperluan yang mendesak.

c. Tidak mencampuri isteri dimasa i'tikaf.

24 August 2009

Dinasihatkan atau dinasihati

Kenapa?

Kedua-duanya ialah kata kerja pasif.

Kata kerja aktifnya ialah menasihatkan dan menasihati.

Kedua-duanya betul jika digunakan pada tempatnya.

Sila analisis ayat contoh yang berikut:

i. Ayat aktif: Ibu menasihatkan hal itu kepada saya.

Ayat pasif: Hal itu dinasihatkan oleh ibu kepada saya.

ii. Ayat aktif: Ibu menasihati saya hal itu.

Ayat pasif: Saya dinasihati hal itu oleh ibu.

Walau bagaimanapun kata kerja pasif tersebut tidak sesuai digunakan dalam situasi ayat yang berikut:

iii. Saya dinasihatkan hal itu oleh ibu.

iv. Hal itu dinasihati kepada saya oleh ibu.

"Dinasihatkan" dan "dinasihati" hanya boleh digunakan jika pelaku dalam subjek ialah pelaku diri ketiga. Jika subjeknya ialah pelaku diri pertama atau kedua, kata kerja pasifnya berubah kepada "nasihatkan" dan "nasihati".

Sila analisis ayat-ayat yang berikut.

v. Ayat aktif: Kamu menasihatkan hal itu kepada saya.

Ayat pasif: Hal itu kamu nasihatkan kepada saya.

vi. Ayat aktif: Kami menasihati saya hal itu.

Ayat pasif: Saya kamu nasihati hal itu.

23 August 2009

KRITIK SOSIAL DALAM PANTUN MELAYU: LAMBANG KETEKALAN MINDA

Oleh:
Dr. Zurinah Hassan
Dr. Salinah binti Ja’afar
Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali

Abstrak

Pantun merupakan satu khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyusunan pantun yang diolah dengan rapi dan disusun indah mengandungi seribu satu maksud yang amat mendalam, yang menjadi wadah dalam menyampaikan nasihat, sindiran, gurauan dan luahan perasaan. Setiap lagu dan ungkapan yang digunakan bukan sahaja memperlihatkan irama yang indah, tetapi juga disusun denngan begitu teliti agar pemilihan perkataan yang digunakan dapat membayangkan corak pemikiran yang kritis. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. Penggunaan pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman. Berikutan daripada itu, kertas ini akan membincangkan bagaimana pantun digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai alat kritik sosial yang digunakan dari dahulu hingga sekarang.
Pendahuluan
Pantun merupakan satu khazanah yang amat bernilai dalam dunia Melayu. Pantun memang tidak asing kepada masyarakat Melayu. Secara langsung atau tidak langsung kita sentiasa bertembung dengan pantun. Saban hari kita mendengar pantun, bahkan pelbagai bentuk rakaman yang memanfaatkan pantun sebagai seni kata lagu yang menarik dan indah. Selalunya, seni kata lagu yang berbentuk pantun akan menjadi siulan para remaja (Zainal Abidin Bakar: 1984: 3). Pantun telah menjadi sebati dengan jiwa dan budaya masyarakat Melayu satu masa dahulu. Perubahan masa telah menjadikan pantun semakin hari semakin jauh ditinggalkan. Anak-anak muda hari ini semakin melupakan pantun yang menjadi sebahagian daripada amalan hidup masyarakat Melayu lama yang sentiasa mementingkan adab dan kesantunan.Pantun adalah salah satu cabang puisi Melayu tradisional yang masih popular hingga ke hari ini. Ia tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis-majlis dan pelbagai upacara, misalnya majlis perkahwinan. Malah pantun juga berkembang mekar di laman internet (ada pantun net) dan berbalas pantun dari seluruh dunia. Mengikut Muhammad Haji Salleh (2006) terdapat kekreatifan baru dunia pantun dalam bentuk bercetak, lisan (radio), visual (televisyen) dan dunia siber termasuk di internet dan yang tersebar melalui khidmat pesanan ringkas atau sms di seluruh dunia.Sering juga diadakan pertandingan antara kelas, antara sekolah dan antara negeri. Malah pertandingan pantun di Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan turut ditaja oleh pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka , RTM, Berita Harian. Pantun bukan sahaja hidup dalam majalah ilmiah sahaja, seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti Ujang dan Din Lawak. Pantun juga menjadi media iklan,
misalnya;
Kek lapis dan kuih bahulu,
Menjadi juadah di Hari raya;
Kalau puan-puan ingin tahu,
Semua perkakasan ada di IKEA.
(Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )
Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survival pantun. Ia bukan hanya survive tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun hal yang membimbangkan ialah tentang penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat. Masyarakat Melayu amat mementingkan keharmonian ketika berkomunikasi antara satu sama lain. Pada satu ketika dahulu, pantun menjadi bahasa basahan yang digunakan sebagai alat komunikasi yang bertujuan menjaga air muka pendengar atau orang yang dilawan bercakap. Melalui pantun, masyarakat Melayu berkias mengenai sesuatu secara halus dan teliti agar setiap perkara yang ingin disampaikan akan diterima dengan baik oleh seseorang. Oleh sebab itu, melodi dan pemilihan perkataan dalam pantun dibuat dengan begitu teliti. Ini memperlihatkan bentuk pemikiran masyarakat Melayu yang sentiasa peka terhadap alam sekeliling dan menjadikan pantun sebagai satu lambang ketekalan minda yang “tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan”.
Kehebatan dan ketepatan pantun sebagai satu alat kritik sosial yang digunakan oleh masyarakat Melayu menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai daya pemikiran yang begitu halus dan kreatif. Seperti mana Laksamana Hang Tuah pernah berkata “tak Melayu hilang di dunia”, pantun juga harus dipelihara agar terus hidup dan diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini. Pantun dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias, sesetengahnya dalam nada bergurau. Melalui pantun terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan dalam pantun adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar. Namun daripada pantun yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang pantun adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan untuk membawa kebaikan. Pengarang pantun menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar pantun.Sesuai dengan ruang dan masa seminar, kertas ini akan membincangkan kritik sosial dalam pantun Melayu dengan menumpukan kepada aspek percintaan, etika dan masyarakat, serta sifat buruk manusia yang sering dialami dalam hidup manusia.
Percintaan
Sebahagian besar pantun yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah pantun percintaan. Percintaan merupakan salah satu hubungan yang terjalin sesama manusia. Dalam konteks kertas kerja ini akan dibicarakan pantun-pantun yang berupa teguran atau kritik tentang tingkah laku manusia yang menyebabkan hubungan percintaan tidak berjalan dengan baik.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
(Zainal Abidin Abu Bakar,1984: 247)
Pantun ini dipopularkan melalui lagu “Gurindam Jiwa” nyanyian Rafeah Buang dan R.Ismail dan dipetik daripada filem yang juga berjudul “Gurindam Jiwa”( terbitan tahun 1966 lakonan Nordin Ahmad dan Latiffah Omar) .
Pantun ini membayangkan suasana percintaan atau hubungan yang masih erat. Namun begitu si kekasih berpesan kepada pasangannya supaya “intai kami antara nampak” supaya “esok jangan rindu-rinduan”. Dengan pesanan ini si kekasih sebenarnya memberi peringatan supaya pasangannya selalu mengintai, dalam erti kata selalu menjengok dan melihat keadaannya.
Ini juga membawa maksud mengambil berat untuk memastikan orang yang dijenguk atau diintai itu masih ada ditempatnya dan berada dalam keadaan yang baik.Dalam konteks perhubungan percintaan pantun membawa pesanan supaya jangan sesekali mengambil ringan dan jangan mengamalkan sikap take for granted bahawa hubungan yang sedang berjalan dengan baik itu akan terus kekal baik. Hubungan kasih mesti dijaga dengan sewajarnya. Jangan sampai si kekasih merajuk dan merasa dirinya tidak dipedulikan. Jika si kekasih pergi membawa diri maka jangan sampai ia dirindu dibiarkan belalu pergi baru nak menyesal baru nak cari. Jangan take for granted. Hal ini adalah penting demi menjaga hubungan kasih sayang.
Pembayang pantun menggambarkan keadaan alam iaitu padi dalam keadaan “antara masak”, Padi baru mula masak dan ada antaranya yang belum masak. Dalam keadaan inilah petani mesti bersedia untuk menuai padinya kerana jika ditunggu ada padi yang akan layu dan tidak sempat dituai. Padi mesti dituai semasa antara masak, iaitu dalam keadaan antara masak dan tidak masak. Jangan biar atau tunggu kerana esok padi akan masak. Jika ditunggu sehingga semuanya masak, kemungkinan tidak sempat mengetam atau menuai. Sebahagiannya akan layu ditangkai.
Dari segi falsafahnya pantun ini memberi penekanan kepada faktor masa dan peluang. Sesuatu yang berharga (iaitu hubungan percintaan) mestilah dihargai sebelum ianya hilang atau sebelum terlambat.
Tuan ketam padi pulut,
Saya ketam padi Jawi;
Tuan berkata sedap di mulut,
Saya mendengar sakit hati.
(Zainal Abidin Abu Bakar,1984: 153)
Pantun ini memberi nasihat supaya berhati-hati dengan kata-kata. Hubungan percintaan juga boleh terjejas akibat salah seorang tidak pandai mengawal kata-kata. Salah satu kesilapan yang diakukan oleh pasangan bercinta ialah tidak berhati-hati dengan kata-kata. Apa yang dilafazkan mungkin menggores perasaan pasangannya. Secara amnya seseorang tidak sepatutnya berkata sesedap hati tanpa menimbang akibatnya kepada orang yang mendengar,apatah lagi bila berkata-kata dengan orang yang sentiasa mengharapkan kasih sayang. Hati mudah terluka lebih-lebih ketika dilamun cinta dan mengharapkan kekasih akan membelai dengan kata-kata yang manis. Pembayang maksud menyentuh dua perkara yang berbeza. Seorang mengetam padi pulut, seorang mengetam padi Jawi. Dari sini membayangkan bahawa perbezaan adalah perkara biasa. Hal ini mudah membawa kepada perbezaan pendapat atau perselisihan faham. Perbezaan ini juga seharusnya membuat kita sentiasa berhati-hati dan bersedia untuk memahami orang lain.Mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan juga merupakan suatu penderaan.
Penderaan tidak hanya terhad kepada penderaan fizikal, tetapi juga penderaan psikologi iaitu menyakitkan seseorang dengan kata-kata. Dengan kata-kata merupakan penderaan psikologi, bukan fizikal. Menyebabkan orang yang mendengar berasa sakit.
Burung jelatik sarang kedidi,
Sarang tempua sarang berjuntai;
Sungguhpun cantik sutera dipuji,
Belacu juga tahan dipakai.
( lirik lagu Pandang-pandang Jeling-jeling)
Pantun ini menjadi terkenal bila ia dinyanyikan dalam lagu “Pandang-pandang Jeling-jeling” (S.M.Salim/Siti Nurhaliza). Pantun ini adalah teguran terhadap orang yang mementingkan kecantikan fizikal sedangkan kebahagiaan tidak terjamin dengan rupa paras yang cantik semata-mata. Oleh itu janganlah terlalu memuji sutera kerana kecantikan dan kehalusannya ataupun menghina belacu kerana kekasarannya walhal di dalam keadaan sehari-hari belacu lebih berguna dan dipakai sebagai kain basahan dan untuk bekerja. Hal ini dapat dikaitkan dengan falsafah keindahan dalam Islam. Islam menekankan kepada pentingnya sesuatu yang indah dan yang bermanfaat.Keindahan dalam Islam bukan semata-mata diukur dari segi fizikal atau rupa paras. Keindahan merangkumi kecantikan fizikal dan nilai yang baik dan positif. Sesuatu yang dipandang indah mestilah juga mempunyai nilai gunaan, iaitu dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Misalnya mutu sesebuah karya sastera atau karya seni yang lain diukur dari nilai-nilai yang dituntut oleh Islam, iaitu yang bercirikan kebenaran, kebaikan dan keindahan. Selaras dengan ajaran Islam seperti yang dihuraikan di atas, pantun Melayu juga menasihatkan agar berhati-hati memilih kekasih atau pasangan hidup. Janganlah hanya memberi perhatian kepada rupa paras kerana kecantikan mungkin hanya sifat luaran semata-mata.
Hal ini dapat dikaitkan dengan pantun di bawah:
Berbaju batik bujang kelana,
Duduk bermadah di tilam pandak;
Usah dipetik si bunga sena,
Warnanya indah berbau tidak.
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984:154)
Pantun di atas membawa maksud, seseorang dinasihati supaya jangan memilih bunga yang cantik tetapi tidak bau wangi. Dia sepatutnya memilih bunga yang harum. Di dalam puisi Melayu bunga yang harum dikaitkan dengan nama yang harum atau nama yang baik. Bunga yang cantik tetapi tidak berbau adalah rendah nilainya seperti yang terungkap dalam pantun. Kecantikan tidak dapat menjamin kebahagiaan sekiranya hanya luaran sahaja yang cantik, tetapi dari aspek dalaman tidak seperti yang diharapkan. Ini dikaitkan dengan hubungan antara lelaki dan perempuan.Bunga yang wangi adalah objek alam yang masih digunakan untuk membawa makna sesuatu keindahan dan kemurnian yang menjadi kenangan dan sebutan. Masyarakat Melayu mengutamakan nama yang baik dan oleh itu seseorang disarankan supaya berkelakuan baik supaya tidak mencemarkan nama ibu bapa dan keluarga. Selaras dengan itu ialah pandangan Islam yang juga mengutamakan nama yang baik atau nama yang bersih. Allah S.W.T mengajar manusia supaya berdoa agar meninggalkan nama yang harum, di samping berdoa untuk menambahkan ilmu: “Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang salih. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian” (Surah asy-Syura, ayat 83-84).
Terdapat pantun-pantun yang memperkatakan tentang perilaku kekasih yang tidak setia.
Misalnya:
Budak-budak mendayung perahu,
Sambil berdayung sambil bermain;
Macam mana bunga tak layu,
Embun menitis di tempat lain
.(Zainal Abidin Abu Bakar,1984:165)
Seri Andalas ke kota Ambon,
Hendak mencari asam paya;
Kasih ibarat setitis embun,
Ditiup angin berderai ia.
(lirik lagu Seri Andalas)
Pantun kedua di atas menggunakan perlambangan embun untuk menyatakan perihal kasih yang tidak bersungguh-sungguh. Embun dijadikan simbol kepada sesuatu keadaan yang tidak kekal dan tidak terjamin. Pantun yang pertama merupakan luahan rasa terhadap kekasih yang tidak lagi memberi perhatian kepada pasangannya. Daripada simbol yang digunakan iaitu bunga maka dapatlah diketahui bahawa yang ditinggalkan itu ialah perempuan dan yang berubah hati ialah lelaki. Hati lelaki sudah beralih kepada gadis yang lain. Hal ini diperikan sebagai embun yang menitis di tempat lain. Perilaku lelaki ini dianggap sebagai tidak bersungguh-sungguh di dalam hubungan percintaan dan keadaan ini disebut di dalam pembayang pantun seperti budak-budak yang sambil berdayung sambil bermain. Ini juga membawa maksud tidak ada niat atau keazaman untuk sampai ke sesuatu destinasi.
Demikian juga hubungan cinta yang tidak serius, akan menyebabkan kegagalan. Cinta yang gagal dilambangkan oleh bunga yang layu.Etika Masyarakat MelayuEtika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (Kamus Dewan, 1996: 345).
Masyarakat (society) merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Etika masyarakat merujuk pada nilai moral atau akhlak yang harus dipegang oleh sesebuah masyarakat. Oleh kerana sesebuah masyarakat yang inginkan kestabilan memerlukan ahli-ahli yang sanggup menolong antara satu sama lain, maka ia perlu kepada nilai-nilai murni seperti kerakyatan, hak dan etika. Ini merupakan perkara asas untuk mencapai keadilan. Jika nilai-nilai ini gagal dipatuhi, sesebuah masyarakat tersebut sebagai tidak adil dan musibah akan berlaku
(Wikipedia Ensiklopedia Bebas, http://ms.wikipedia.org/wiki/Masyarakat).
Masyarakat Melayu biasanya mengaitkan etika masyarakat dengan pegangan agama Islam. Contohnya seperti yang tergambar dalam pantun di bawah:Asam kandis asam gelugur,Ketiga asam riang-riang;Mengangis di pintu kubur,Teringat badan tidak sembahyang.(http://culture.melayuonline.com/)
Sesuatu yang bercanggah dengan agama Islam merupakan perlanggaran kepada etika masyarakat Melayu. Setiap perlakuan dalam kehidupan masyarakat Melayu yang beragama Islam secara halus dikaitkan dan dijalin dengan indah dalam pantun. Ini juga sebagai peringatan secara bersahaja dan relaks tanpa menyentuh peribadi sesiapapun yang terlibat.
Pantun berikut merupakan kritikan sosial dalam etika masyarakat Melayu.
Mengapa bising di tepi laut,
Ombak menghempas berderai-derai;
Kusangka tuan beras pulut,
Bila ditanak nasi berderai.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 184)
Daripada petikan pantun di atas, jelas menunjukkan kritikan sosial orang Melayu terhadap orang yang tidak boleh dipercayai. Terdapat banyak kategori sikap ’orang yang tidak boleh dipercayai’, dan ini dapat dilihat banyak sekali dalam peribahasa Melayu yang merujuk kepada orang yang tidak boleh dipercayai. Misalnya ’talam dua muka’ – orang memuji di depan tetapi di belakang kita mereka mengeji, ’ular lidah bercabang’ – orang yang tidak menepati janji, atau orang yang sentiasa berubah dengan cepat kata-katanya,Pemantun dalam pantun di atas telah menunjukkan nada marah dan sindiran terhadap orang yang tidak boleh dipercayai ini. Dalam konteks pantun di atas, ’orang yang tidak dipercayai’ merujuk kepada kepercayaan terhadap pada orang yang disangka dapat berkongsi masalah dan menyimpan rahsia, namun kepercayaan terhadap orang itu musnah kerana sikapnya yang tidak sebaik yang disangka.
Berdasarkan pembayang dan maksud yang diberikan dalam pantun di atas, kemungkinan kesalahan yang dilakukan oleh orang tersebut ialah suka membawa mulut atau menceritakan perihal orang lain, atau kemungkinan juga orang itu tidak boleh menyimpan rahsia, sebaliknya suka menghebahkan rahsia atau sesuatu perkara kepada orang lain. Beras pulut ialah lambang ’orang yang dipercayai’, yang boleh menyimpan rahsia. Ini dapat disesuaikan dengan beras pulut apabila ditanak akan melekat dan padat. ’Beras’ pula menjadi lambang ’orang yang tidak boleh dipercayai’ kerana apabila ditanak akan berderai, tidak seperti pulut. Penggunaan simbol-simbol ini jelas memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu dahulu dalam membuat pemilihan kata yang bertepatan dengan pemikiran yang hendak disampaikan.
Pantun berikutnya turut memperlihatkan rasa marah pemantun terhadap lelaki yang suka mempermain-mainkan wanita. Pemantun yang menuturkan pantun ini berkemungkinan besar adalah seorang wanita.
Nasi dingin bersayur mumbang,
Sayur dimasak dalam belanga;
Kami tak ingin melihat kumbang,
Kalau kumbang merosak bunga.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 251 )
Pantun di atas jelas menunjukkan kemarahan pemantun terhadap lelaki yang gemar merosakkan wanita. Ibarat peri bahasa ’habis madu sepah dibuang’ sekiranya peribahasa ini merujuk kepada wanita, ia bermaksud wanita yang ditinggalkan apabila lelaki itu sudah mendapat apa yang dihajati daripada wanita berkenaan; peribahasa ’ibarat bunga, sedap dipakai, layu dibuang’ turut bermaksud wanita yang ’dirosak’ oleh lelaki, iaitu wanita yang dikasihi semasa muda tetapi diceraikan apabila tua. Kritikan sosial di sini jelas ditujukan kepada golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap wanita.
Dalam Al-Quran menegaskan bahawa “Lelaki itu adalah pelindung/pemimpin bagi wanita.” Riwayat Abu Hurairah dalam Sahih Bukhari mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah berkata:“O Muslims! I advise you to be gentle with women, for they are created from a rib, and the most crooked portion of the rib is its upper part. If you try to straighten it, it will break and if you leave it, it will remain crooked, so I urge you to take care of the women.”(http://nurjeehan.hadithuna.com/ ).
Namun, perlakuan lelaki adalah dalam pantun ini jelas menyalahi norma masyarakat malah menyalahi hukum Islam berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Golongan lelaki ini bukan sahaja mereka tidak melindung dan membimbing wanita, malahan mereka merosakkan pula wanita tersebut. Seorang suami misalnya hendaklah memberi perlindungan dan bimbingan sebaik-baiknya kepada isteri, bukan setakat makanan dan pakaian sahaja, tetapi juga agama.Pantun seterusnya yang bernada marah dapat dilihat dalam pantun jenaka. Apabila pantun ini dibaca, secara tidak langsung perasaan pendengar akan tercuit rasa geli hati. Namun jika diteliti sebenarnya pantun ini mengandungi emosi marah, bukan jenaka semata-mata, dan emosi marah jelas terlihat dalam perkataan ’terajang punggung’.
Di sana merak di sini merak,
Merak mana hendak dikepung;
Di sana hendak di sini pun hendak,
Pusing belakang terajang punggung.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 103)
Pantun di atas merupakan satu kritikan sosial terhadap orang yang suka mengikut hawa nafsu dalam kehidupan mereka. Pemantun mengkritik orang yang bersifat tamak haloba, terlalu mementingkan hawa nafsu dan sekali gus memperlihatkan sikap mereka yang mementingkan keduniaan semata-mata. Banyak sekali mengenai sikap tamak diungkapkan dalam peribahasa Melayu, iaitu ”seperti anjing dengan bayang-bayang”, ”seperti anjing berebut tulang” dan ”seperti anjing beroleh bangkai”. Dalam pantun lama juga ada memperlihatkan akibat daripada sikap tamak, iaitu sentiasa mendapat kerugian dalam kehidupan.
Ini dapat dilihat dalam pantun di bawah:
Dalam semak ada duri,
Ayam kuning membuat sarang;
Orang tamak selalu rugi,
Seperti anjing dengan bayang-bayang.
Sifat Buruk Manusia
Setiap manusia di dunia ini dilahirkan dengan pelbagai sifat dan rupa. Di sebalik wajah yang cantik kadangkala ada benda yang buruk, tidak semua manusia di atas dunia ini sempurna sifatnya. Masyarakat Melayu amat kreatif dalam memperkatakan sifat buruk ini dalam bentuk teguran, nasihat ataupun luahan melalui pantun.
Antara pantun yang dapat dilihat dalam bahasa Melayu yang menunjukkan kritik sosial sifat-sifat buruk ini ialah seperti:
Dari Kuala Pahang ke Kuala Lipis,
Mari dibawa angin utara;
Berhadapan saja mulutnya manis,
Paling belakang lain bicara.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 173)
Pantun di atas membawa maksud bahawa dalam kalangan manusia, banyak yang akan sentiasa memberi pujian atau meluahkan kata-kata yang manis, namun di sebalik perkataan yang manis itu, mungkin akan jadi sebaliknya apabila mereka bercakap di belakang kita. Dalam rutin kehidupan, kita tidak boleh lari daripada menghadapi situasi di mana terdapat pelbagai jenis manusia wujud di sekeliling kita. Pantun ini sebenarnya sebagai peringatan bahawa dalam hidup kita pasti ada perkara-perkara yang kurang menyenangkan, terutama daripada mereka yang mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap apa yang kita miliki.
Kadang kala seseorang yang banyak memuji kita itulah sebenarnya yang akan menjadi duri dalam daging, maksud merekalah yang lebih banyak mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap kita.
Berilah saya pisau raut,
Hendak meraut bingkai tudung;
Gila apakah ikan di laut,
Mengidam umpan di kaki gunung.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 178)
Pantun di atas juga menunjukkan bagaimana sifat hasad dan dengki dalam kalangan manusia yang dikaitkan dengan ikan yang mengidam umpan di kaki gunung.
Pantun ini membawa dua maksud, iaitu sebagai peringatan kepada mereka yang menginginkan sesuatu yang di luar kemampuan, dan juga sebagai peringatan kepada manusia mengenai pelbagai sifat manusia yang tidak dijangka akan berlaku kepada kita.
Buah cempedak buah nangka,
Ditanam orang dalam di dalam kebun;
Haram tidak disangka-sangka,
Buah delima menjadi racun.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 179)
Pantun di atas jelas menggambarkan bahawa akibat daripada perbuatan yang tidak baik akan mewujudkan satu keadaan yang tidak diangka-sangka berlaku dalam kehidupan kita. Benda yang luarannya kelihatan cantik dan molek, kadangkala akan menjadi perosak atau pembunuh yang kejam. Maksudnya di sini, kita harus berhati-hati dalam melakukan sesuatu hal, ataupun dalam mempercayai sesuatu perkara yang kita lihat kerana dalam apa jua keadaan, benda yang cantik atau yang disangka manis itu sebenarnya adalah racun yang akan merosakkan.
Raja di gua jalan ke teluk,
Cantik halus rupa mukanya;
Ibarat buah busuk di pokok,
Hilang manis pahit rasanya.
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 180)
Pantun di atas pula merujuk kepada sifat manusia yang tidak mahu berubah. Kebanyakan kita kadangkala lupa bahawa dunia ini sentiasa berubah, begitu juga dengan sifat manusia. Perubahan zaman dan masa ini juga harus kita sedari kerana sekiranya kita tidak mengikuti perkembangan zaman, maka kita akan ketinggalan di belakang. Pantun ini juga bertujuan menegur bahawa ketika berada pada sesuatu tahap kita perlu mengikut peredaran masa bagi membolehkan kita diterima dalam masyarakat. Misalnya, apabila meningkat tua, seseorang itu haruslah sedar bahawa umur yang meingkat memerlukan mereka menjadi dewasa. Mereka yang tidak mahu berubah akan dikecam atau dikeji.Berbanding dengan masyarakat muda hari ini pula, pantun dilihat sebagai sesuatu yang agak tradisi yang diwarisi daripada masyarakat lama.
Namun begitu, masyarakat muda juga tidak ketinggalan dengan pantun mereka yang diadaptasikan dan disesuaikan dengan dunia baru. Kewujudan pantun-pantun generasi baru ini kadangkala dianggap sebagai perosak kepada keindahan pantun lama, tetapi jika dilihat daripada aspek yang positif, generasi hari ini juga mencipta pantun, namun agak longgar dan lebih bersahaja sifat.
Contohnya:
Ada duit naik teksi,
Tak ada duit naik bas;
Cari makwe jangan seksi,
Nanti cepat kena kebas.
Pantun ini ditemu ketika penulis bercuti hari raya, dan dalam gurauan antara anak-anak muda, penulis sempat mendengar pantun ini yang menjadi bahan gurauan anak-anak muda yang datang menziarah. Dapat dilihat bahawa generasi hari ini lebih terbuka dan berterus terang dalam mengungkapkan sesuatu. Setiap pemilihan kata yang dibuat lebih bersahaja dan agak selamba. Ini seakan telah menyebabkan unsur estetika dan keindahan dalam pemilihan kata telah sedikit bergeser kerana pembayang dan maksud yang dipilih kelihatan wujud secara langsung dengan kehidupan dan suasana masyarakat hari ini.Pantun di bawah ini pula merujuk kepada bentuk pantun lama yang diberi wajah baru.
Siakap senohong,
Gelama ikan duri;
bercakap bohong,
Lama-lama jadi menteri.
Pantun di atas sebenarnya merujuk kepada sikap ahli politik yang banyak memberi ceramah dan berjanji sana sini untuk mendapat undi rakyat. Namun di sebalik ceramah yang diberi, banyak antaranya adalah bohong semata-mata.
Siakap senohong,
Gelama ikan duri;
Baca berita bohong,
Lama-lama mencuri.
Pantun di atas berkaitan dengan penyiaran berita di TV3, yang banyak menyokong kerajaan. Pantun tersebut digunakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kandungan berita yang disiarkan di TV3 yang dikatakan banyak mengandungi unsur tokok tambah.Perkembangan masa telah menjadikan pantun sebagai bahan jenaka yang digunakan dalam menempelak seseorang. Jika diteliti dengan mendalam, kelihatan bahawa pantun-pantun baru menerima banyak perubahan, namun unsur-unsur kesamaan bunyi dan penyampaian maksud itu masih boleh difahami.
Kesimpulan
Pantun merupakan khazanah bangsa yang amat bernilai bagi masyarakat Melayu. Keindahan pantun dalam mengungkapkan seribu satu macam maksud menjadi lambang ketekalan minda yang amat kreatif. Penggunaan pantun sebagai bahan kritik sosial secara tidak langsung menunjukkan bahawa pemikiran masyarakat Melayu dalam mengadaptasi alam sekeliling bagi menyampaikan maksud ataupun meluahkan perasaan menjadi cerminan jiwa dan raga masyarakat Melayu itu sendiri. Pentingnya menjaga keharmonian diperlihatkan dalam pemilihan kata setiap pantun yang dicipta. Bukan sahaja maksud yang terhasil dalam pantun menjadi inti, tetapi juga perkataan yang digunakan sebagai pembayang juga mengandungi makna yang mendalam.Sifat pantun yang banyak memperlihatkan kesopanan dan ketelitian pemakainya dalam meluahkan perasaan amat menarik untuk dibincangkan. Jangkauan akal fikiran yang merenung dan mencerna segala bentuk kehidupan dalam lagu dan irama pantun melambangkan pesona jiwa dan kehalusan minda masyarakat Melayu dalam menjaga air muka dan juga sebagai satu senjata untuk menangkis sebarang perbuatan secara lembut dan harmonis. Perkara-perkara seperti inilah yang perlu dijaga dan dikekalkan dalam jiwa masyarakat Melayu supaya kesopanan dan kelembutan yang selama ini menjadi amalan akan terus berkekalan dalam jiwa generasi hari ini.Generasi muda mempunyai pemikiran yang lebih kepada straight to the point, ataupun lebih berterus terang dalam mengungkapkan atau meluahkan maksud, sama ada dalam pantun mahupun dalam bahasa seharian. Ini terjadi akibat daripada pengaruh globalisasi yang semakin merubah jiwa dan perasaan masyarakat Melayu hari ini. Perubahan masa bukanlah satu alasan untuk generasi hari ini merosakkan dan memperlecehkan keindahan dan kehalusan pantun. Sepatutnya perlu ada kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan generasi hari ini untuk memelihara kesopanan dan kehalusan budi bahasa yang terpancar dalam pantun. Adat muda semestinya ada bentuk-bentuk yang baru, tetapi janganlah sehingga mengetepikan khazanah lama yang ternyata indah dan halus. Membentuk masyarakat yang maju dan bersopan santun serta berbudi bahasa menjadi tanggungjawab bersama yang akan memastikan Melayu mempunyai jati diri dan wawasan dalam dunia globalisasi hari ini.Dipetik daripada :
Blog Dr Zurinah Hassan
http://zurinahhassan.blogspot.com

kesalahan pembentukan frasa

Antara kesalahan dari segi frasa yang kerap dikemukakan ialah;

1) Frasa nama (kata nama jamak, kata majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM)

2) Frasa kerja pasif kata ganti diri pertama/kedua dan kata ganti diri ketiga

3) Frasa kerja transitif dan tak transitif

4) Frasa adjektif

5) Frasa sendi

1) Kesalahan Frasa NamaKesalahan yang kerap ialah kesalahan penggunaan bentuk jamak ataupun kata bilangan, kata nama majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM.

Kesalahan Contoh:

1. Kesemua peserta-peserta seminar itu dihadiahi cenderamata sebagai kenang-kenangan.
2. Kami akan membincangkan lain-lain hal dalam mesyuarat tersebut.
3. Alat tulis-alat tulis itu kami beli dari kedai buku berhampiran.
4. Ibu-ibu bapa pelajar sekolah itu diwajibkan hadir ke majlis penyerahan keputusan peperiksaan anak-anak mereka.
5. Para-para guru diseru oleh Menteri Pendidikan agar sentiasa peka dengan perkembangan teknologi maklumat.

Ayat sepatutnya:

1. Kesemua peserta (atau: peserta-peserta) seminar itu ......
2. ...... membincangkan hal-hal lain dalam mesyuarat ......
3. Alat-alat tulis (atau: semua alat tulis) itu kami beli .......
4. Para ibu bapa pelajar sekolah itu ......
5. Para guru (atau: guru-guru) diseru .......

Ulasan ringkas:

1. Kata nama yang telah digandakan dan menunjukkan bilangan tidak boleh menerima kata bilangan lagi. Namun kata nama yang digandakan tetapi tidak menunjukkan bilangan perlu menerima kata bilangan seperti ‘semua kanak-kanak’ atau ‘ semua rama-rama’.

2. Perkataan ‘hal’ harus mendahului perkataan ‘lain’ dan digandakan untuk menunjukkan hal yang banyak, bukannya lain yang banyak.

3. Kata majmuk ‘alat tulis’ tidak boleh digandakan keseluruhannya, memadai digandakan perkataan pertama sahaja atau menerima kata bilangan.

4. Perkataan ‘ibu bapa’ merupakan rangkai kata setara yang boleh diselitkan perkataan ‘dan’ ataupun ‘atau’ dan tidak boleh digandakan langsung, sebaliknya hanya menerima kata bilangan untuk menunjukkan jumlah.

5. Sama sebagaimana dalam ayat (1)2) Kesalahan Frasa Kerja Pasif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pembentukan frasa kerja pasif kata ganti diri pertama dan kedua yang tidak tepat atau menyisipkan apa-apa perkataan sama ada kata bantu atau kata sendi antara pelaku dan kata kerja pasif diri pertama dan kedua.
Selain itu kesalahan pembentukan frasa kerja pasif kata ganti diri ketiga yang tidak tepat iaitu mengikut bentuk ayat pasif kata ganti nama diri pertama atau kata ganti nama diri kedua.
Selain itu juga terdapat ayat pasif kata ganti nama diri ketiga yang menerima keterangan selepas kata kerja yang menggugurkan kata sendi nama ‘oleh’.

Kesalahan Contoh:

1. Bahan-bahan buangan itu mereka kumpulkan sebelum dilupuskan di tapak pelupusan.
2. Bahan-bahan buangan itu dikumpulkan oleh kami sebelum dilupuskan di tapak pelupusan.
3. Alat tulis itu kami akan beli pada minggu depan.
4. Alat tulis itu perlu kamu membeli dengan secepat mungkin.
5. Ceramah kerjaya itu akan disampaikan pada hari esok seorang pakar motivasi.

Ayat sepatutnya:

1. ....... dikumpulkan (oleh) mereka .....
2. ....... kami kumpulkan .......
3. ....... akan kami beli .......
4. ....... perlu kamu beli .......
5. ....... disampaikan pada hari esok oleh seorang pakar motivasi.

Ulasan ringkas:

Proses pembentukan ayat pasif perlu difahami sebelum pelajar dapat menguasai apakah yang dikatakan ayat pasif. Ayat pasif merupakan ayat yang meletakkan ‘benda yang kena’ oleh perbuatan sebagai ‘subjek’ ayat. Dalam ayat 1 hingga 5 semua subjeknya ‘bahan buangan’, ‘alat tulis’ dan ‘ceramah’ merupakan benda yang kena oleh perbuatan.

1. ‘Mereka’ merupakan kata ganti nama diri ketiga yang perlu mengikut bentuk pasif yang betul iaitu didahului kata ganti nama diri baru kata kerja berimbuhan ‘di...kan’. Kata hubung ‘oleh’ merupakan unsur pilihan iaitu boleh wujud atau tidak wujud kerana selepas kata kerja pasif ‘dikumpulkan’ tiada sebarang keterangan.

2. Ayat (1), (2) dan (3) mengandungi kata ganti nama diri pertama (kami) dan kata ganti nama diri kedua (kamu) yang meletakkan pelaku baru diikuti kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan. Antara pelaku dan kata kerja juga tidak boleh ada kata bantu (akan, perlu). Kata bantu aspek atau kata bantu ragam perlu sebelum pelaku.

3. Ayat (5) memerlukan kata hubung ‘oleh’ disebabkan selepas kata kerja pasif ‘disampaikan’ merupakan keterangan masa baru diikuti pelaku (pakar motivasi). Tanpa kata hubung ‘oleh’ ayat tersebut merupakan ayat tergantung.

3) Kesalahan Frasa Kerja Transitif dan Tak Transitif.
Kesalahan yang kerap dikemukakan merupakan kesalahan pembentukan frasa dan penggunaan imbuhan yang membentuk frasa kerja.

Kesalahan Contoh:
1. Kami akan menerangkan tentang perkara itu kepada mereka.
2. Aminah tidak mahu memulangkan semula buku itu kepada abangnya.
3. Mereka tidak dapat terima keputusan perlawanan itu lalu menarik diri daripada pertandingan.
4. Badrul berharap Ahmad akan menghubunginya sebaik sahaja sampai di Pulau Pinang.
5. Salleh berfikir kejadian itu tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Kamil.

Ayat Sepatutnya:
1. .....akan menerangkan perkara itu ......
2. .....tidak mahu memulangkan buku itu semula .........
3. .....tidak dapat menerima keputusan ........
4. .....berharap agar Ahmad akan .........
5. .....berfikir bahawa kejadian itu ........

Ulasan ringkas:

1. Pembentukan frasa kerja transitif dalam ayat (1) dan (2) memerlukan kata nama atau frasa nama sebagai pelengkap atau penyambut ataupun objek. Perkataan ‘menerangkan’ dan ‘memulangkan’ merupakan kata kerja transitif yang harus menerima ‘perkara itu’ dan ‘buku’ sebagai penyambut. Secara ringkas, selepas kata kerja transitif diikuti ‘apakah’ benda yang kena oleh perbuatan.

2. Ayat 3 memerlukan imbuhan ‘MeN’ (me, men, meN..i, meN..kan, meng, meny, menge) bagi membentuk frasa kerja transitif.

3. Ayat (4) dan ayat (5) membentuk frasa kerja tak transitif yang memerlukan kata sendi nama ataupun kata hubung ‘agar’ dan ‘bahawa’ sebagai penyambung kepada keterangan. Tanpa kata sendi nama ataupun kata hubung ayat tersebut membentuk kesalahan frasa.

4) Kesalahan Frasa Adjektif.Kesalahan yang kerap dikemukakan bagi kesalahan frasa adjektif ialah kesalahan dari segi pembentukannya dan penggunaan kata penguat yang tidak tepat.

Kesalahan Contoh:

1. Harris merupakan pelajar yang terpintar sekali di dalam kelasnya.

2. Mereka berpakaian begitu kemas benar untuk ke majlis tersebut.

3. Cikgu Adnin sering menjadi guru yang paling terawal sampai di sekolah pada setiap hari.

4. Pemuda itu menjadi begitu terkenal sekali setelah memenangi pingat emas di peringkat SukanOlimpik.

5. Bangunan itulah yang paling tinggi sekali di Kuala Lumpur.

6. Saya sungguh benci kelakuan buruknya.

Ayat sepatutnya:
1. ........pelajar yang terpintar di dalam kelasnya. (atau) ....... pintar sekali di dalam kelasnya.
2. ........berpakaian begitu kemas untuk ......(atau) ........berpakaian kemas sekali untuk .......
3. ........guru yang paling awal sampai.......(atau) ........guru yang terawal sampai .........
4. ........menjadi begitu terkenal setelah .......(atau) .......menjadi terkenal sekali setelah......
5. ........yang paling tinggi di Kuala Lumpur. (atau) ........yang tinggi sekali di Kuala Lumpur.
6. .......sungguh benci akan kelakuan buruknya.

Ulasan ringkas:

Dua kata penguat dalam frasa adjektif tidak boleh digunakan dalam satu adjektif kecuali KATA PENGUAT BEBAS (sungguh, sangat dan amat).
Begitu juga dengan imbuhan ‘ter’ yang mendukung maksud darjah penghabisan tidak boleh menerima kata penguat kecuali kata kata penguat bebas. Selain itu kata adjektif perasaan juga memerlukan kata sendi nama untuk dihubungkan dengan keterangan (lihat ayat 6).

Contoh dua kata penguat yang BOLEH digunakan dalam frasa adjektif ialah:
1. amat cantik sekali
2. sungguh besar sekali.
3. sangat baik benar.
4. teramat pandai.
5. tersangat masyhur.·

Dua KATA PENGUAT BEBAS (sangat, sungguh dan amat) BOLEH digunakan bersama atau digabungkan dengan satu lagi penguat ( biasanya kata penguat ‘sekali’) dalam satu adjektif seandainya salah satunya merupakan KATA PENGUAT BEBAS.5)

Kesalahan Frasa SendiKesalahan yang kerap dikemukakan ialah pengguguran frasa sendi antara kata kerja intransitif dan kata nama. Selain itu penggunaan kata sendi nama yang tidak tepat juga merupakan kesalahan lazim yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan.

Kesalahan Contoh:
1. Mereka berasal dari sebuah keluarga yang besar.
2. Kami tidak menyangka bahawa mereka akan keluar daripada hutan itu secepat ini.
3. Mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kebakaran itu akan ditempatkan di rumah panjang.
4. Dia melemparkan buku tersebut ke Azhar kerana terlalu marah.
5. Mereka memulakan kerja pembersihan itu daripada sudut kanan kawasan itu.

Ayat sepatutnya:
1. .......berasal daripada sebuah keluarga......
2. .......keluar dari hutan .........
3. .......yang terlibat dalam kebakaran..........
4. ........melemparkan buku tersebut kepada Azhar........
5. ........kerja pembersihan itu dari sudut kanan.......

Ulasan ringkas:

Pembentukan frasa sendi perlu mengikut tujuan pembentukannnya yang tepat. Sesuatu kata sendi yang membentuk frasa sendi tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya walaupun dalam keadaan biasa diterima dan difahami maksud fras berkenaan. Misalnya kata sendi ‘dari’ perlu digunakan untuk menunjukkan ARAH, TEMPAT dan MASA.

Dalam ayat (3) frasa ‘di dalam kebakaran’ tidak boleh diterima sebagai betul kerana ‘kebakaran’ tidak menunjukkan maksud tempat sebaliknya bermaksud keadaan sesuatu atau hal. Maka kata sendi nama ‘di’ perlu digugurkan dan hanya menggunakan ‘dalam’.

Dalam ayat (4) ‘Azhar’ menunjukkan maksud ‘manusia’ yang perlu menggunakan kata sendi nama ‘kepada’ bagi membentuk hukum penggunaan kata sendi nama yang betul. Ayat (5) ‘sudut kanan’ bermaksud tempat, maka kata sendi nama ‘dari’ perlu digunakan untuk membentuk frasa sendi yang betul.

18 August 2009

SESUNTUK KITA MENCARI TAKWA


Mengapa seringkali mengadai waktu

sesuntuk kita mencari takwa

tanpa menghargai kekosongan

yang terbiar hangus

daripada mengisi kesesunyian

bersama keimanan

kita menambahkan pengisian

dengan keinsafan

dalam penyesalan.

gadis kecil- Usman Awang

Gadis Kecil - Usman Awang

Tubuh itu mengingatkan daku

sebatang pinang di desa sepi

kurus dan tinggi

ketika ribut besar

pohon sekitarnya rebah terkapar

dan pohon pinang tegak menanti sinar

mentari pagi

Demikianlah gadis kecil itu

kurus seperti sebatang pinang

bertahun berulang-alik melalui

penjara kawat duri menemui

ayahnya yang bertahun pula sendiri

menentang tiap penderitaan

tabah dan beriman.

Gadis kecil itu mengagumkan daku

tenang dan senyuman yang agung

dengan sopan menolak pemberianku

'saya tak perlu wang, pak cik, cukuplah kertas dan buku.'

Usianya terlalu muda

Jiwanya didewasakan oleh pengalaman

tidak semua orang mencapai kekuatan demikian

ketabahan yang unik, mempesonakan.

Bila aku menyatakan simpati dan dukaku

rasa pilu terhadapnya

sekali lagi dia tersenyum dan berkata:

'jangan sedih, pak cik, tabahkan hati

banyak anak-anak seperti saya di dunia ini.

' Aku jadi terpaku

dia, si gadis kecil itu menenteramkan

mengawal ombak emosiku

jangan sedih melihat derita pahitnya.

Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa

yang mahu membela manusia derita terpenjara

menerima nasihat supaya tabah dan berani,

dari anak penghuni penjara sendiri?Sepuluh anak seperti dia

akan menghapuskan erti seribu penjara.

Renungan kata pengisian jiwa


Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup…
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…
Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar memenuhi keperluanmu. Kerana apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi…
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya…
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya lagi. Kamu akan menyesal…
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain? Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal……